Rabu, 6 September 2017 | 5:48pm
MAYAT pelarian Rohingya dibawa setelah ditemui tenggelam di Sungai Naf dekat Ulubunia di Ukhiya. - Foto AFP

Bot karam, 5 kanak-kanak Rohingya lemas

COX'S BAZAR: Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak lemas apabila bot membawa pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar karam awal hari ini, kata pengawal sempadan Bangladesh.

Pihak berkuasa berkata, antara tiga hingga empat bot karam di Sungai Naf, yang memisahkan Bangladesh dan negeri Rakhine yang dilanda keganasan Myanmar.

Sejumlah pelarian menemui ajal ketika cuba menyeberangi sempadan Sungai Naf sejak kebangkitan baharu keganasan di Rakhine 25 Ogos lalu.

Ramai yang menggunakan bot nelayan kecil tidak sesuai digunakan mengharung arus deras.

Pegawai Pengawal Sempadan Bangladesh, Aloysius Sangma, berkata antara tiga dan empat bot dipenuhi pelarian Rohingya karam awal hari ini.

"Setakat ini, mayat lima kanak-kanak lelaki dan perempuan ditemui di lokasi berbeza," katanya.

Pegawai polis tempatan, Main Uddin, berkata pihaknya dalam perjalanan untuk menyiasat. - AFP

297 dibaca
Berita Harian X