Selasa, 24 Oktober 2017 | 9:26pm
PENUNJUK perasaan di Jakarta, hari ini. - Foto Reuters

Indonesia lulus undang-undang bubar pertubuhan tentang Pancasila

JAKARTA: Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan diketuai kumpulan konservatif Islam mengadakan bantahan di luar Parlimen hari ini, apabila ahli perundangan meluluskan perintah Presiden mengharamkan pertubuhan sivil yang dianggap menentang ideologi sekular negara itu.

Kelulusan itu menjadikan dasar Presiden Joko 'Jokowi' Widodo yang dikeluarkan Julai lalu sebagai undang-undang.

Dasar itu bertujuan mengekang kumpulan konservatif yang membayangi reputasi Indonesia yang sekian lama mengamalkan toleransi agama di negara paling ramai umat Islam itu.

"Kami sudah melihat pertubuhan besar-besaran yang menentang Pancasila dan mencetuskan konflik sosial.

"Undang-undang ini tidak menyekat kebebasan berkumpul atau berhimpun, ia mengukuhkannya," kata ahli perundangan yang menyokong dasar itu, Arya Bima.

Pada lewat 2016 dan awal tahun ini, kumpulan seperti Hizb-ut Tahrir (HTI) dan Barisan Pertahanan Indonesia (FPI), yang menggesa undang-undang Islam dilaksanakan di Indonesia, mengetuai perhimpunan jalanan besar-besaran menentang gabenor Jakarta ketika itu yang beragama Kristian, yang dituduh menghina Islam.

Perintah Presiden yang ditandatangani Widodo Julai lalu mengarahkan pembubaran semua pertubuhan yang dianggap bertentangan dengan ideologi sekular.

HTI, yang mahu menubuhkan kerajaan Islam, adalah pertubuhan pertama akan dibubarkan menurut dasar itu. - Reuters

Berita Harian X