Khamis, 2 November 2017 | 3:42pm

Pelajar sekolah, universiti Indonesia sokong kerajaan Khalifah

JAKARTA: Hampir 20 peratus pelajar sekolah tinggi dan universiti di Indonesia menyokong penubuhan kerajaan Khalifah di negara paling ramai umat Islam di dunia itu berbanding kerajaan sekular sedia ada, menurut satu tinjauan baru minggu ini.

Reputasi negara itu yang mengamalkan toleransi agama sejak sekian lama mula diperhatikan apabila kumpulan konservatif Islam mula memasuki kehidupan umum dan politik Indonesia.

Majoriti rakyat negara itu mengamalkan Islam secara sederhana dan ia mempunyai ramai minoriti Hindu, Kristian dan mereka yang memegang kepercayaan tradisional.

Kepelbagaian agama ada dalam Perlembagaan negara itu.

Tinjauan oleh pertubuhan beribu pejabat di Jakarta itu menemubual lebih 4,200 pelajar Islam, kebanyakannya di sekolah dan universiti terkenal di Jawa, yang mempunyai lebih separuh daripada penduduk negara itu.

Hampir satu dalam empat pelajar berkata mereka, pada pelbagai tahap, bersedia melancarkan jihad untuk mencapai matlamat penubuhan kerajaan Khalifah.

"Ini menunjukkan ketiadaan toleransi sudah memasuki sekolah tinggi dan universiti utama.

"Kerajaan dan pertubuhan Islam sederhana perlu mula mengambil langkah ketara menjangkakan perkara ini dan berada dalam kalangan pelajar dengan cara yang boleh difahami mereka," kata pusat tinjauan itu, Alvara, dalam laporan yang disiarkan Selasa lalu.

Kumpulan konservatif Islam, lewat tahun lalu mengetuai bantahan jalanan besar-besaran menentang bekas gabenor Jakarta yang berketurunan Cina dan beragama Kristian, yang dipercayai menghina Islam. - Reuters

Berita Harian X