Rabu, 22 November 2017 | 1:31am
GUNUNG berapi di pulau peranginan Bali, Indonesia, mula mengeluarkan abu dan kepulan asap, semalam.- Foto ihsan kompas.com

Gunung Agung di Bali keluarkan asap, abu

KARANGSEM: Gunung berapi di pulau peranginan Bali, Indonesia, mula mengeluarkan abu dan kepulan asap, semalam.

Keadaan itu meningkatkan kebimbangan ia mungkin meletus kali pertama dalam tempoh lebih 50 tahun.

Gunung Agung mengeluarkan asap setinggi 700 meter selepas lebih 140,000 penduduk berpindah dari sekitar kawahnya bulan lalu berikutan bimbang ia meletus.

Hampir 1,600 maut ketika gunung berapi itu meletus pada 1963, namun pihak berkuasa semalam berkata, keadaan semasa itu tidak memberi ancaman segera kepada penduduk sekitar.

Malah, wakil agensi pengurusan bencana Bali, Made Indra, berkata tahap amaran juga tidak ditingkatkan.

"Bagi kami, ia bukan satu letusan. Letusan berlaku apabila gunung memuntahkan isinya dan ia masih belum berlaku, hanya asap," katanya.

Bagaimanapun, pakar gunung berapi tempatan, Gede Suantika, berkata penduduk dalam lingkungan enam kilometer di sekeliling gunung itu patut berpindah.

Difahamkan, aktiviti Gunung Agung tidak stabil sejak Ogos lalu. - AFP

Berita Harian X