Isnin, 15 Januari 2018 | 6:20pm

75 cedera runtuhan depan lobi Bursa Saham Indonesia

Jakarta: Sekurang-kurangnya 75 orang cedera ditimpa serpihan kaca dan bahan binaan lain apabila lantai mezanin berdepan lobi utama di bangunan Bursa Saham Indonesia runtuh, pagi tadi.

Bangunan terbabit adalah sebahagian kompleks dua menara yang menjadi sasaran pengebom nekad militan Daesh pada September 2000 tetapi polis menolak bom sebagai punca ia runtuh.

.

Polis mengepung kawasan kompleks ketika orang ramai, termasuk pelajar, lari menyelamatkan diri.

"Kami menumpukan kepada proses pemindahan ketika ini," kata jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono, kepada Metro TV.

Gambar dan rakaman televisyen yang tersebar di laman media sosial menunjukkan struktur logam yang runtuh sekitar kafe Starbucks berhampiran pintu masuk ke lobi.

"Tingkat kedua bangunan itu runtuh," kata seorang pembantu peribadi kepada presiden bursa itu, Tito Sulistio.

Seorang pekerja di bangunan itu, Megha Kapoor, berkata beliau melihat serpihan konkrit jatuh dan paip air pecah.

"Saya mendengar bunyi retak yang kuat, saya melihat seorang wanita yang tidak sedarkan diri terperangkap di bawah kepingan konkrit," katanya.

Megha berkata, terdapat sekumpulan pelajar sekolah menengah di kawasan itu ketika ia runtuh.

Urusan bursa disambung semula pada sebelah petang. - Reuters

SEKURANG-KURANGNYA 75 orang cedera ditimpa serpihan kaca dan bahan binaan lain apabila lantai mezanin berdepan lobi utama di bangunan Bursa Saham Indonesia. - Foto REUTERS
Berita Harian X