Isnin, 22 Januari 2018 | 9:37pm
Pelarian Rohingya kelihatan beratur untuk mendapatkan bekalan makanan di kem Balukhali, berhampiran Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto REUTERS

Ketua etnik Rohingya dibunuh di kem pelarian

BALUKHALI: Penyerang membunuh wakil Rohingya di sebuah kem pelarian Bangladesh, kematian kedua dalam tempoh tiga hari ketika ketegangan memuncak berhubung rancangan menghantar pulang kira-kira 750,000 pelarian ke Myanmar.

Sumber berkata, lelaki yang maut adalah Yusuf Ali adalah ketua kem di sini, bersempadan dengan Myanmar. Mohammad Yusuf, ketua di kem bersebelahan Thaingkhali, ditembak mati Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah, Iqbal Hossain berkata, Yusuf, 60, ditikam hingga mati.

Akhbar Dhaka Tribune menyifatkan mangsa sebelumnya, Mohammad, sebagai ketua penyokong penghantaran pulang Rohingya.

Isterinya, Jamila Khatun, 35, berkata, kira-kira 20 lelaki bersenjata dan memakai topeng menyerbu rumah mereka serta menembak suaminya di kepala.

"Dia menjerit 'Ya Allah!' dan menembaknya sekali lagi di mulut. Suami saya jatuh. Penyerang bercakap dalam bahasa Rohingya. Mereka memberitahu suami: 'Mengapa anda letak nama kami dalam senarai?' Mereka amat marah," kata Jamila.

Dia tidak menyatakan senarai mana dimaksudkan penyerang.

Pihak berkuasa Bangladesh cuba menyenaraikan nama pelarian Rohingya, antara hampir sejuta yang ditempatkan di kem sempadan, yang boleh dihantar pulang ke Myanmar.

Susulan perjanjian dengan Myanmar, pihak berkuasa Bangladesh mahu memulakan penghantaran esok namun menangguhkan operasi itu, menyatakan memerlukan lebih masa untuk membuat persiapan. - AFP

Berita Harian X