Khamis, 8 Februari 2018 | 6:41pm
KEADAAN jerebu di Bangkok, Thailand. -Foto REUTERS
KEADAAN jerebu di Bangkok, Thailand. -Foto REUTERS

Kualiti udara Bangkok di tahap bahaya

BANGKOK: Penduduk di ibu kota ini, destinasi terkenal pelancong, diberi amaran susulan paras kualiti udara tahap bahaya hari ini, beberapa hari selepas agensi kawalan pencemaran merayu penduduk memakai topeng muka.

Pencemaran udara di ibu kota Thailand itu menjadi perhatian sejak beberapa minggu lalu apabila penduduk mengadu persekitaran berjerebu dan masalah pernafasan.

Sesetengah sekolah ditutup hari ini atau melarang kanak-kanak keluar.

Formula Indeks Kualiti Udara (AQI) biasanya memasukkan sehingga enam bahan pencemar utama termasuk PM2.5, PM10, karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan gas ozon darat.

"Jabatan Kawalan Pencemaran melaporkan situasi debu PM2.5 di Metropolitan Bangkok pada 8 Februari jam 12 tengah hari mencatat bacaan 72-95 mikrogram setiap meter padu udara. Paras debu dijangka meningkat di semua kawasan," Jabatan Kawalan Pencemaran memberi amaran dalam kenyataan hari ini.

Garis panduan purata pencemaran udara Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menetapkan bacaan tidak lebih 10 mikrogram setahun. PM2.5 adalah campuran cecair dan serpihan halus termasuk debu, kotoran, jelaga dan asap.

Indeks AQI di tengah ibu kota ini diukur Jabatan Kawalan Pencemaran jam 1.30 tengah hari waktu tempatan menunjukkan paras AQI 135 atau 'tidak sihat'. -Reuters

Berita Harian X