Sabtu, 24 Februari 2018 | 12:57pm
Foto hiasan

Wanita maut dibaham buaya

JAKARTA: Seorang wanita berusia 66 tahun dilaporkan maut selepas dibaham seekor buaya di Sumatera.

Menurut polis, keluarga dan jiran wanita itu melancarkan operasi mencari apabila beliau gagal pulang ke rumah, selepas pergi ke sebuah taman di tebing sungai.

Ia berlaku di sebuah kampung terpencil di Teluk Kuali, di wilayah Jambi, awal minggu ini.

Polis berkata, penduduk kampung melihat seekor buaya berhampiran sebuah bot yang mempunyai barang peribadi milik wanita itu, sekali gus percaya mangsa diserang haiwan itu.

"Hasil operasi mencari penduduk kampung berjaya menemui mayat mangsa di tebing sungai berkenaan," kata jurucakap polis Jambi, Kuswahyudi Tresnadi kepada AFP.

Bagaimanapun, Kuswahyudi berkata, bahagian bawah tubuh mangsa dan kedua-dua tangannya sudah tiada akibat dibaham buaya terbabit.

Dalam pada itu, kepulauan Indonesia memang menjadi lokasi pelbagai jenis hidupan liar eksotik, termasuk beberapa spesies buaya yang dilaporkan sering menyerang dan membunuh manusia.

Pada April 2016, seorang pelancong Russia maut selepas dibaham buaya pulau Raja Ampats, iaitu lokasi menyelam popular dalam kalangan pelancong. - AFP

Berita Harian X