Ahad, 25 Februari 2018 | 4:45pm
- Foto hiasan

Filipina tahan balu militan

MANILA: Balu kepada dua pemimpin militan yang dibunuh, ditahan kerana didakwa menyokong kumpulan pelampau dan memiliki senjata api dan bahan letupan, kata polis Filipina hari ini.

Juromee Dongan pernah berkahwin dengan pemimpin kanan militan Abu Sayyaf yang terkenal menculik untuk mendapatkan wang tebusan, Khadaffy Janjalani.

Polis berkata, selepas kematian Khadaffy pada 2006, Juromee berkahwin dengan pembuat bom warga Malaysia, Zulkifli Hir atau Marwan, yang terbunuh di Filipina pada 2015.

Pihak berkuasa menahan Juromee bersama saudara maranya di rumahnya di rantau selatan bergolak Lanao del Norte, Mindanao, di mana mereka menemui senjata api, peluru dan komponen membuat bom, kata kenyataan polis.

"Dia membantu dan bersekongkol dengan rangkaian kumpulan pengganas. Juromee dikaitkan dengan Abu Sayyaf ketika Khadaffy dan kemudian Jemaah Islamiyah (JI)," kata jurucakap polis serantau, Superintendan Lemuel Gonda merujuk kumpulan militan di Asia Tenggara itu.

Marwan adalah pemimpin JI dan suspek dalam pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang serta dua serangan membawa maut di Filipina.

Dia maut dalam satu serbuan di selatan Filipina yang turut mengakibatkan 44 komando polis terbunuh.

Amerika Syarikat (AS) sebelum ini menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM19.59 juta) untuk menangkapnya. - AFP

Berita Harian X