Isnin, 26 Februari 2018 | 6:50pm
Aung Tun Thet, Ketua Penyelaras Kesatuan Perusahaan untuk Bantuan Kemanusiaan, Penempatan Semula dan Pembangunan di Rakhine (UEHRD) mengadakan perbincangan dengan media semasa taklimat pers di kantor Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Myanmar (ISIS) di Yangon, Myanmar. - Foto EPA-EFE
Aung Tun Thet, Ketua Penyelaras Kesatuan Perusahaan untuk Bantuan Kemanusiaan, Penempatan Semula dan Pembangunan di Rakhine (UEHRD) mengadakan perbincangan dengan media semasa taklimat pers di kantor Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Myanmar (ISIS) di Yangon, Myanmar. - Foto EPA-EFE

Myanmar nafi musnah bukti kekejaman

YANGON: Myanmar meratakan saki baki kampung Rohingya untuk memberi laluan kepada penempatan semula pelarian, bukan memusnahkan bukti kekejaman, kata seorang pegawai yang mengetuai usaha pembinaan negeri utara bergolak, Rakhine, hari ini.

Minggu lalu, Human Rights Watch (HRW) berpusat di New York berkata, ia menganalisis imej satelit menunjukkan Myanmar meratakan sekurang-kurangnya 55 perkampungan di Rakhine, termasuk dua yang jelas masih wujud sebelum jentera berat tiba.

Kumpulan itu berkata, pemusnahan itu mungkin memadamkan bukti kekejaman dilakukan pasukan keselamatan dalam apa yang digelar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) sebagai kempen pembersihan etnik ke atas minoriti tanpa negara, Rohingya.

Tindakan keras tentera akibat serangan pemberontak Rohingya ke atas 30 pos polis dan pangkalan tentera 25 Ogos lalu menyebabkan 688,000 etnik minoriti Islam itu lari ke Bangladesh, menceritakan kisah kekejaman pembunuhan, rogol dan membakar perkampungan oleh askar dan polis.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi pada Oktober lalu menubuhkan Kesatuan bagi Bantuan Kemanusiaan, Penempatan Semula dan Pembangunan (UEHRD) bagi mengetuai tindak balas domestik.

Ahli ekonomi veteran, Aung Tun Thet yang mempengerusikan badan itu berkata, perkampungan diratakan untuk memudahkan kerajaan menempatkan semula pelarian sehampir mungkin dengan rumah asal mereka.

"Tiada hasrat memusnahkan apa yang dianggap bukti. Niat kami adalah memastikan bangunan untuk pelarian yang kembali mudah dibina," katanya.

Katanya, Myanmar cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan kepulangan pelarian mengikut perjanjian ditandatangani dengan Bangladesh November lalu dilaksanakan secara 'adil, bermaruah dan selamat'. -Reuters

Berita Harian X