Isnin, 12 March 2018 | 8:28pm
GAMBAR fail, tertuduh Kerwin Espinosa (kiri) dan Ketua Polis Filipina, Ronald Dela Rosa sewaktu ditahan oleh polis dari Abu Dhabi. - Foto ihsan Facebook Polis Kebangsaan Filipina

Filipina gugurkan aduan kes dadah berprofil tinggi

MANILA: Jabatan Kehakiman Filipina menggugurkan aduan terhadap beberapa suspek pengedar dadah berprofil tinggi kerana bukti yang lemah, menurut dokumen yang diperoleh Reuters hari ini.

Dalam kempen memerangi dadahnya, Presiden Rodrigo Duterte secara terbuka menamakan dan memalukan ahli politik dan ahli perniagaan sebagai 'raja dadah' yang mengawal jual beli narkotik di negara itu.

"Kami sedar pengadu yang bersungguh-sungguh menghapuskan ancaman dadah terlarang yang berleluasa di negara hari ini, dan umum sudah mengetahui kempen ini sudah meragut banyak nyawa," kata panel Jabatan Kehakiman dalam arahan yang diperoleh Reuters, bertarikh 20 Disember lalu, tetapi tidak dihebahkan kepada umum.

Namun agensi penguat kuasa undang-undang perlu mengumpulkan lebih banyak bukti kukuh dan cekap membuktikan responden dan individu lain terbabit dalam jual beli dadah terlarang.

Pengguguran kes itu menjadi tamparan kepada Duterte, yang dikritik pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia kerana mensasarkan penagih dan penjual dadah kecil-kecilan dalam kempen yang dilihat membiarkan raja dadah tidak diusik.

Antara 22 yang dibebaskan adalah ahli perniagaan Peter Go Lim dan Kerwin Espinosa, yang ditahan polis Abu Dhabi pada Oktober 2016.

Bapa Espinosa, Rolando, adalah Datuk Bandar Albuera di tengah wilayah Leyte dan menyerah diri pada Ogos 2016 untuk menjawab pertuduhan dadah.

Rolando terbunuh tiga bulan kemudian, dalam apa yang dikatakan polis kejadian tembakan di penjara, lokasi beliau ditahan. - Reuters

655 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »