Khamis, 22 March 2018 | 12:04pm

17 maut, 33 cedera bas terbabas

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 17 maut, manakala puluhan lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa penumpang dari timur laut Thailand terbabas dan melanggar pokok.

Menurut pihak berkuasa, kemalangan berlaku malam semalam, di wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand membabitkan bas dua tingkat yang membawa kira-kira 50 penumpang yang baru pulang dari bercuti.

"Jumlah kematian semasa adalah 17 orang dan 33 lagi cedera.

"10 daripada mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di sebuah hospital berdekatan," kata pegawai dari perkhidmatan perubatan kecemasan wilayah Nakhon Ratchasima kepada AFP.

Sementara itu, ketua jabatan pencegahan bencana dan mitigasi di Nakhon Ratchasima berkata, pemandu bas hilang kawalan ketika kenderaan sedang menuruni bukit, sebelum terbabas dan melanggar sebuah pokok besar.

"Bas itu terputus dua," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, jalan raya Thailand dikenali sebagai antara yang paling berbahaya di dunia, meragut nyawa kira-kira 24,000 orang setiap tahun. - AFP

Berita Harian X