Rabu, 18 April 2018 | 8:36pm

Indonesia cadang had urus niaga tunai

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mencadangkan undang-undang bertujuan mengehadkan urus niaga tunai untuk membendung rasuah dan penggubahan wang haram di rantau ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Ketua Laporan Transaksi Kewangan dan Pusat Analisis (PPATK), Ki Agus Badaruddin berkata, draf rang undang-undang yang dikemukakan kepada parlimen itu mengehadkan pembayaran tunai kepada 100 juta rupiah (RM28,237).

Katanya, rang udang-undang itu diharap dapat diluluskan menjelang hujung tahun ini.

"Secara asasnya, andaian sekatan ini akan mengurangkan ruang yang membolehkan seseorang melakukan penggubahan wang haram dan membiayai keganasan," kata Ki Agus tanpa memberikan butiran bagaimana undang-undang itu bakal dikuatkuasakan.

Kira-kira 85 peratus urus niaga di Indonesia dalam bentuk tunai dan agak sukar untuk mengesan jika ia dilakukan menerusi bank atau rangkaian elektronik lain, menjadikan ia cabaran kepada kerajaan dalam membanteras penggubahan wang haram, rasuah dan penajaan keganasan.

Ki Agus dipetik media sebagai berkata, PPATK mengesan kenaikan aktiviti rasuah kebanyakannya membabitkan urus niaga tunai.

Tempo.co melaporkan, PPATK mengesan lebih daripada seribu urus niaga mencurigakan yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan pilihan raya wilayah di seluruh Indonesia berbanding 53 urus niaga yang dibuat secara elektronik. - Reuters

Berita Harian X