Selasa, 22 Mei 2018 | 3:53pm
GUNUNG Merapi mula menunjukkan tanda bahaya. - Foto REUTERS

Gunung Merapi mula tunjuk tanda bahaya

JAKARTA : Gunung berapi paling aktif Indonesia, Gunung Merapi yang terletak di kepulauan padat penduduk, Jawa mula menunjukkan tanda bahaya seperti beberapa letusan kecil, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengarahkan penduduk untuk berpindah.

Arahan turut diberikan kepada pelancong khususnya dari luar negara agar menjauhi kawasan sekitar pergunungan itu.

Siri letupan Gunung Merapi pada tahun 2010 telah meragut lebih daripada 350 nyawa dan pihak berkuasa tidak mahu mengambil risiko selepas kepulan asap tebal serta debu mula keluar, semalam.

Jurucakap Agensi Pengurangan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho menerusi sistem pesanan ringkas memberitahu, larangan sementara telah dikeluarkan untuk sebarang aktiviti dalam jarak tiga kilometer dari kawasan gunung.

"Larangan itu termasuk aktiviti 'hiking'," katanya sambil menambah, agensi berkenaan turut menaikkan tahap amaran hari ini.

Indonesia sejak beberapa lama telah menggunakan tanah gunung berapi bagi tujuan pertanian dan baru-baru ini, gunung berapi itu turut popular sebagai tarikan pelancong.

Agensi bencana alam menggambarkan letupan Merapi sebagai berpunca daripada pemanasan air bawah tanah oleh magma, sebelum ia berubah menjadi wap yang dilepaskan di bawah tekanan.

Bulan ini lapangan terbang di Jogjakarta iaitu bandar terhampir dengan gunung berapi terbabit terpaksa ditutup buat sementara waktu susulan letupan berkenaa. - Reuters

Berita Harian X