Selasa, 12 Jun 2018 | 1:24pm
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump bersalaman dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada sidang kemuncak bersejarah di Singapura. - Foto AFP
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump bersalaman dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada sidang kemuncak bersejarah di Singapura. - Foto AFP

Pyongyang, Washington bakal tandatangani dokumen

SINGAPURA: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menganggap sidang kemuncak bersejarah bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, hari ini, berjalan lancar dan lebih baik berbanding apa yang dijangka oleh mana-mana pihak.

Malah, Trump berkata, kedua-dua pihak bakal menandatangani dokumen susulan perbincangan yang berlangsung hari ini, sekali gus menjurus kepada usaha menamatkan program nuklear di Semenanjung Korea.

Beliau berkata demikian kepada media sambil disaksikan oleh Jong-un yang berdiri bersebelahannya, ketika kedua-dua pemimpin itu berjalan menyusuri taman di Hotel Capella di Sentosa, iaitu lokasi sidang kemuncak itu.

Terdahulu, Jong-un dilaporkan berkata, mesyuarat terbabit adalah 'satu permulaan yang baik untuk proses damai'.

"Berlaku banyak perkembangan, sangat-sangat positif. Saya rasa ia lebih baik daripada jangkaan mana-mana pihak.

"Yang paling utama, ia amat baik (mesyuarat). Kami akan menandatangani (dokumen)," kata Trump kepada wartawan, tanpa mendedahkan maklumat lengkap mengenai perkara yang akan ditandatangani.

Delegasi Trump turut disertai Setiausaha Negara, Mike Pompeo; Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton dan Ketua Kakitangan Rumah Putih, John Kelly; manakala pasukan Jong-un membabitkan bekas ketua perisikan tentera, Kom Yong-chol; Menteri Luar, Ri Yong-ho serta Naib Pengerusi Parti Pekerja, Ri Su-yong. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X