Khamis, 28 Jun 2018 | 11:59pm
GAMBAR fail, pelarian Rohingya menyeberangi sempadan dari Myanmar ke kem pelarian, di Palang Khali, berhampiran Cox's Bazar, Bangladesh pada 19 Oktober 2017. - Foto REUTERS

Pengawal sempadan Myanmar tembak budak Rohingya

COX'S BAZAR, Bangladesh: Pengawal sempadan Myanmar menembak dan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki Rohingya yang sedang bermain di kawasan bebas antara sempadan dekat Bangladesh, hari ini, kata seorang ketua masyarakat.

Ansar Ullah, 10, ditembak berhampiran pagar kawat berduri yang dibina Myanmar di kawasan sempadannya yang turut dikenali sebagai 'zero line'.

"Beberapa kanak-kanak bermain berhampiran pagar hari ini apabila sebutir peluru hidup dilepaskan dari pos Polis Pengawal Sempadan Myanmar (BGP) lalu terkena Ansar," kata ketua masyarakat, Dil Mohammad.

Kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan di bahagian paha dan dikejarkan ke sebuah hospital yang dikendalikan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) di dalam sebuah kem Rohingya untuk dirawat.

Seorang lagi ketua masyarakat, Mohammad Arif turut melahirkan kemarahan susulan kejadian itu.

"Adakah seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tanpa senjata menjadi ancaman kepada mereka? Amat memalukan mereka melepaskan tembakan ke arah kanak-kanak tidak bersenjata," kata Mohammad.

Komander dari Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB), Leftenan Kolonel, Manzurul Hasan Khan berkata, tembakan itu datang dari kawasan bebas antara sempadan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan adakah peluru itu datang dari pos BGP.

"Kami akan menghantar nota bantahan kepada BGP," katanya. - AFP

Berita Harian X