Jumaat, 13 Julai 2018 | 10:21pm
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Gajah mati diracun

BANDA ACEH: Gajah yang diancam kepupusan dijumpai mati dalam sebuah ladang kelapa sawit di Sumatera disyaki sengaja diracun, kata pegawai hari ini.

Bangkai gajah Sumatera betina berusia 10 tahun itu ditemui di kampung Jambo Reuhat di Aceh Utara semalam, yang ketiga dijumpai mati disyaki diracun di ladang sama sejak 2015.

"Kami menemui buah dan beg poket dengan kesan serbuk di dalam perut haiwan itu.

"Kami mengesyaki kematian disebabkan keracunan kerana hati dan limpanya bertukar hitam, petanda racun," kata ketua pusat pemuliharaan, Sapto Aji Prabowo.

Sekumpulan doktor haiwan dihantar ke lokasi selepas pihak berkuasa diberi maklumat oleh penduduk tempatan.

Pegawai menganggarkan mamalia itu sudah mati tiga hari lalu apabila bangkainya dijumpai.

Gajah Sumatera adalah spesis diancam kepupusan.

Penebangan hutan berleluasa untuk membuka ladang mengurangkan habitat dan mewujudkan konflik dengan manusia.

Sekurang-kurangnya 11 gajah liar mati di Aceh tahun lalu, kebanyakannya dibunuh manusia. - AFP

Berita Harian X