Khamis, 19 Julai 2018 | 7:14pm
GAMBAR fail, Kem Balukhali di Ukhia antara kem utama pelarian Rohingya di Cox's Bazar di Bangladesh. - Foto ihsan MVM/TSDBJ

Tentera rancang serangan 'sistematik' Rohingya

BANGKOK: Tentera Myanmar melakukan persediaan 'meluas dan sistematik' untuk memerangi etnik Muslim Rohingya, kata sebuah kumpulan hak asasi manusia, hari ini dalam laporan terbaharu yang menyokong siasatan pembunuhan beramai-ramai terhadap golongan minoriti tertindas itu.

Ogos lalu, kempen ketenteraan menyebabkan kira-kira 700,000 golongan minoriti tanpa kewarganegaraan itu melarikan diri menerusi sempadan ke Bangladesh. Banyak tuduhan rogol dan pembunuhan tanpa bicara direkodkan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) menyifatkannya sebagai pembersihan etnik. Namun, Myanmar menafikan tuduhan itu dengan berkata, ia hanya bertindak balas terhadap serangan militan Rohingya.

Kumpulan Fortify Rights berkata, berdasarkan penyelidikan selama berbulan-bulan di Myanmar dan Bangladesh serta ratusan temu bual dengan mangsa dan pihak berkuasa, mereka mendapati pasukan keselamatan melucutkan senjata penduduk Rohingya dan melatih komuniti bukan Rohingya untuk melawan.

Tentera Myanmar turut memutuskan bantuan makanan kepada Rohingya dan memusnahkan pagar rumah mereka untuk pandangan serangan lebih jelas, menurut laporan itu.

"Pihak berkuasa Myanmar melakukan persediaan meluas dan sistematik untuk melakukan kekejaman terhadap penduduk asli Rohingya, beberapa minggu dan beberapa bulan, sebelum serangan militan Rohingya pada 25 Ogos 2017," kata Fortify.

Laporan itu berkata, serangan oleh Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA), pada Ogos lalu yang dijadikan alasan untuk operasi balas, berlaku secara tiba-tiba dan bukan secara berterusan. Katanya, operasi tentera Myanmar pula dirancang lebih awal.

Pengasas Fortify, Matthew Smith memberitahu pemberita, ketika pelancaran laporan itu di Bangkok bahawa pasukan keselamatan sengaja menjadikan penduduk Muslim Rohingya lebih lemah dan terdedah kepada serangan.

Etnik Rohingya sudah lama menetap di Rakhine, namun dilihat sebagai pendatang di negara majoriti Buddha, Myanmar selepas bertahun-tahun diasingkan beberapa rejim tentera.

"Ia menunjukkan bagaimana pembunuhan beramai-ramai berlalu dan bagaimana ia berlaku di negeri Rakhine," katanya. - AFP

Berita Harian X