Rabu, 25 Julai 2018 | 12:50pm
ANGGOTA penyelamat bertungkus lumus membantu penduduk berpindah selepas empangan di Laos runtuh. - Foto REUTERS

Terkini: Empangan runtuh di Laos

BANGKOK: Anggota penyelamat bertungkus lumus mengesan penduduk yang hanyut selepas empangan di Laos runtuh, mengakibatkan puluhan penduduk disyaki maut, manakala ratusan lagi dilaporkan masih hilang.

Media tempatan dalam laporannya, menunjukkan gambar penduduk, termasuk kanak-kanak terperangkap di atas bumbung rumah yang ditenggelami air dari empangan.

Gambar lain menunjukkan penduduk di wilayah Attapeu, iaitu kawasan paling selatan di negara itu sedang berusaha menyelamatkan diri dengan menaiki bot kayu.

Sekurang-kurangnya tujuh kawasan perkampungan disahkan tenggelam.

"Operasi menyelamat akan diteruskan hari ini, walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

"Puluhan penduduk dipercayai maut dan jumlahnya dijangka terus meningkat," kata seorang pegawai yang dihubungi Reuters menerusi panggilan telefon.

Sementara itu, di Seoul, SK Engineering & Construction (SK E&C), iaitu rakan kongsi syarikat pembinaan empangan Xe-Namnoy, berkata mereka berjaya mengesan masalah pada bahagian atas strukturnya kira-kira 24 jam sebelum ia runtuh.

SK E&C yang juga syarikat pembinaan Korea Selatan berkata, kerosakan itu dikesan Ahad lalu, pada jam 9 malam (waktu tempatan).

"Kami terus memaklumkan masalah itu kepada pihak berkuasa dan operasi memindahkan penduduk di kawasan berhampiran terus dimulakan.

"Namun, kerja membaiki kerosakan terjejas akibat hujan lebat dan pada awal pagi Isnin, air dilepaskan dari empangan Xe-Namnoy, iaitu salah satu daripada dua empangan utama dalam projek itu, dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap struktur tambahan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pada masa sama, menjelang tengah hari kerajaan mengeluarkan amaran mengenai kerosakan tambahan pada empangan itu, sebelum ia runtuh beberapa jam kemudian.

"Menjelang pagi Selasa, tujuh daripada 12 perkampungan di sekitar empangan disahkan tenggelam," katanya.

Firma Korea Selatan itu berkata, mereka sudah mengerah pasukan krisis ke lokasi terbabit, selain menghantar helikopter, bot dan pekerja penyelamat.

"Ketika ini, SK E&C sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Laos bagi membantu operasi mencari dan menyelamat," katanya. - Reuters/AFP

Berita Harian X