Sabtu, 4 Ogos 2018 | 2:20pm
SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo. - Foto Reuters
SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo. - Foto Reuters

Washington desak Myanmar bebas wartawan Reuters

SINGAPURA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo mendesak Myanmar membebaskan dua wartawan Reuters, yang dituduh melanggar undang-undang kerahsiaan ketika membuat laporan mengenai pembunuhan etnik Rohingya.

Warga Myanmar, Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, ditahan sejak Disember lalu dan berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun, kerana memiliki dokumen rahsia yang mempunyai kaitan dengan beberapa operasi keselamatan di Rakhine.

Pompeo dalam ciapan di Twitter berkata, beliau sudah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat keselamatan serantau menteri luar ASEAN, di sini.

"Saya sudah bercakap dengan Menteri #Burma's Kyaw Tin dan membangkitkan kebimbangan Amerika Syarikat mengenai nasib dua wartawan @Reuters yang ditahan di Burma kerana melakukan tugas mereka.

"Mereka perlu dibebaskan serta merta," katanya yang merujuk kepada Myanmar.

Kedua-dua wartawan itu ditahan ketika membuat laporan mengenai keganasan tentera terhadap etnik Rohingya di Rakhine, yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Washington sebagai pembersihan etnik.

Mereka dilaporkan sedang menyiasat mengenai pembunuhan 10 lelaki etnik Rohingya di kawasan perkampungan Inn Din.

Tentera Myanmar akhirnya mengaku terbabit dalam insiden pembunuhan beramai-ramai itu. - AFP

Berita Harian X