Selasa, 28 Ogos 2018 | 9:19pm
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di the Hague. - Foto REUTERS

Tekanan tidak membantu selesai krisis Rohingya - China

BEIJING: Tekanan terhadap Myanmar tidak membantu dalam menyelesaikan krisis pelarian Rohingya, kata China, selepas penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa tentera Myanmar bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap komuniti minoriti itu.

PBB semalam kali pertama secara jelas menggesa pegawai kanan Myanmar didakwa atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai disebabkan operasi ketenteraan terhadap etnik Rohingya dan pengumuman itu dijangka menjadikan Myanmar lebih terpencil.

Pasukan penyiasat krisis itu menggesa Majlis Keselamatan PBB melaksanakan embargo senjata terhadap Myanmar, mengenakan sekatan terhadap pegawai kanan negara itu dan menubuhkan tribunal untuk membicarakan suspek atau merujuk mereka kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di the Hague.

Bagaimanapun, China mempunyai hubungan rapat dengan Myanmar dan menyokong operasi ketenteraan anti pemberontak di barat negeri Rakhine. Beijing juga pernah membantu menyekat resolusi terhadap krisis itu di Majlis Keselamatan PBB, sebelum ini. - Reuters

Berita Harian X