Sabtu, 29 September 2018 | 12:39pm
KEADAAN bangunan yang musnah dalam kejadian gempa bumi serta tsunami yang melanda Palu, Sulawesi. - Foto EPA

Indonesia kerah semua pihak bantu mangsa di Palu

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menggunakan pesawat Hercules dan kapal maritim untuk membawa anggota tentera, agensi bencana dan hospital lapangan ke kawasan yang terjejas akibat gempa bumi serta tsunami yang melanda Palu, Sulawesi, semalam.

Insiden gempa bumi dan tsunami semalam, memusnahkan tujuh pencawang elektrik, sekali gus menjejaskan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga malam tadi, syarikat elektrik PLN berjaya memulihkan bekalan di dua pencawang dan sedang bertungkus lumus memperbaiki lima lagi pencawang yang musnah.

Laman web The Jakarta Post yang memetik Menteri Dalam Negeri, Tjahjo Kumolo, melaporkan beliau mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) untuk menghantar khemah dan peralatan lain ke kawasan terjejas.

Arahan menerusi telegram itu turut dihantar kepada pihak berkuasa tempatan dan wilayah berhampiran Palu, termasuk Mamuju serta Makassar.

Tjahjo berkata, beliau juga sudah mengarahkan pemimpin tempatan supaya menghantar bekalan beras dengan segera ke Palu.

“Saya akan ke Palu pagi ini, bagi memastikan pihak berkuasa tempatan bersedia (mengendalikan urusan menyelamat),” katanya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Sosial, Agus Gumiwang Kartasasmita, berkata kementeriannya sudah menyediakan 3,000 bungkusan bahan makanan asas dan enam dapur medan mudah alih, yang mampu memasak kira-kira 36,000 hidangan setiap hari.

“Lebih 100 sukarelawan dan unit tindakan kecemasan, Forum Tagana dari kawasan berhampiran, termasuk Gorontalo, Sulawesi Barat dan Makassar akan dihantar bagi membantu mangsa.

“Ahli Forum Tagana dari Sulawesi Tengah yang tidak terjejas dengan gempa bumi sudah membantu operasi pemindahan dan menyelamat,” katanya. - AGENSI

Berita Harian X