Sabtu, 29 September 2018 | 4:19pm

Hampir 400 maut susulan gempa bumi, tsunami di Palu

JAKARTA: Jumlah korban akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia, meningkat kepada sekurang-kurangnya 384 orang dengan kebanyakannya maut akibat dihanyut ombak besar ketika bermain di pantai.

Agensi bencana Indonesia menyatakan semua mangsa yang terkorban itu di Palu yang dilanda tsunami besar dan memberi amaran jumlah korban boleh meningkat.

Menurut agensi itu, kira-kira 540 lagi cedera parah.

Menurut pihak berkuasa, gempa susulan masih menggegarkan Sulawesi hari ini, sehingga 100 gegaran sejak semalam, selepas pantai tumpuan pelancong dibadai ombak setinggi enam meter selepas gegaran berskala 7.5 magnitud.

ORANG awam melihat kerosakan di pantai yang terkena tsunami di Palu. - Foto AFP
ORANG awam melihat kerosakan di pantai yang terkena tsunami di Palu. - Foto AFP

PENDUDUK mencari barang mereka di tengah-tengah runtuhan rumah-rumah yang musnah di Palu. - Foto AFP
PENDUDUK mencari barang mereka di tengah-tengah runtuhan rumah-rumah yang musnah di Palu. - Foto AFP

“Ketika ancaman tsunami semalam, masih ramai melakukan aktiviti di pantai, tidak segera melarikan diri menyebabkan ramai menjadi mangsa,” kata jurucakap agensi mitigasi bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho dalam taklimat berita di Jakarta.

Menurut Sutopo, ada mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada dihanyutkan arus selepas memanjat pokok setinggi enam meter.

Pihak berkuasa turut mengesahkan beberapa gambar yang menunjukkan mayat disusun sepanjang jalan dan ada di antaranya dimasukkan ke dalam beg serta muka ditutup dengan baju.

Reuters melaporkan, Nugroho memberitahu kemusnahan akibat gempa bumi amat teruk dengan ribuan rumah, hospital dan pusat beli-belah runtuh manakala jambatan dihanyutkan tsunami selain tanah runtuh.

Agensi itu juga masih belum mendapat maklumat mengenai keadaan di bandar perikanan yang hampir dengan pusat gempa. Lebih 600,000 orang tinggal di Donggala dan Palu. - Agensi

KEADAAN hospital yang musnah dalam kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu. - Foto Reuters
KEADAAN hospital yang musnah dalam kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu. - Foto Reuters
PENDUDUK melalui di sepanjang jalan yang penuh dengan sisa runtuhan bangunan susulan gempa bumi dan tsunami melanda Palu, di Pulau Sulawesi. - Foto AFP
PENDUDUK melalui di sepanjang jalan yang penuh dengan sisa runtuhan bangunan susulan gempa bumi dan tsunami melanda Palu, di Pulau Sulawesi. - Foto AFP
SEORANG lelaki mencari barang-barangnya di tengah-tengah runtuhan rumahnya di Palu. - Foto AFP
SEORANG lelaki mencari barang-barangnya di tengah-tengah runtuhan rumahnya di Palu. - Foto AFP
GEMPA susulan masih menggegarkan Sulawesi hari ini, sehingga 100 gegaran sejak semalam. - Foto AFP
GEMPA susulan masih menggegarkan Sulawesi hari ini, sehingga 100 gegaran sejak semalam. - Foto AFP
Berita Harian X