Isnin, 1 Oktober 2018 | 9:08am

Indonesia bergelut hantar bantuan ke Sulawesi

PALU: Pihak berkuasa Indonesia bergegas menghantar makanan, bantuan dan peralatan ke pulau Sulawesi yang dilanda gempa bumi dan tsunami ketika angka korban bencana alam itu meningkat kepada 832.

Bilangan kematian dijangka terus bertambah ketika pasukan penyelamat bergelut untuk sampai kepada komuniti terjejas.

Puluhan penduduk dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan beberapa hotel dan pusat beli belah di bandar raya Palu, yang dilanda ombak setinggi enam meter susulan gempa bumi berukuran 7.5 Jumaat lalu.

Ratusan lagi dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh yang menenggelamkan perkampungan di kawasan sekitar.

Presiden Indonesia Joko Widodo, disertai Gubernur Sulawesi Tengah, Longki Djanggola, mengunjungi mangsa yang tercedera akibat gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia. - Foto REUTERS

“Simpati kepada penduduk Sulawesi Tengah, kita semua bersedih,” kata Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menerusi Twitter lewat semalam.

Kebanyakan kematian berlaku di Palu dan pihak berkuasa menjangkakan angka kematian meningkat apabila hubungan dengan kawasan dengan kawasan terpencil kembali pulih.

Antara yang menjadi perhatian adalah Donggala, wilayah diduduki 300,000 penduduk dan terletak berhampiran pusat gegaran dan dua daerah berhampiran, yang terputus komunikasi sejak Jumaat.

“Kami belum menerima sebarang laporan daripada tiga kawasan itu. Komunikasi dan bekalan elektrik masih terganggu.

“Kami tidak tahu apa kesannya di situ,” kata jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Purwo Nughoro, pada sidang akhbar.

Dalam kejadian itu, lima rakyat asing iaitu tiga Perancis, seorang Korea Selatan dan seorang Malaysia, ialah antara yang hilang, katanya. — Reuters

Presiden Indonesia Joko Widodo mengunjungi kawasan yang terkena gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia. - Foto Reuters
Berita Harian X