Isnin, 1 Oktober 2018 | 1:40pm
Pandangan udara menunjukkan kesan kemusnahan yang berlaku akibat dari gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia Tengah Sulawesi. - Foto AFP

Penduduk Palu terpaksa berpindah akibat kurang bekalan asas

TABOLI (Indonesia): Penduduk Kota Palu yang dikejutkan dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia pada Jumaat lalu, terpaksa melarikan diri selepas kawasan dilanda bencana itu berdepan masalah kekurangan keperluan asas.

Gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter itu menggoncang Sulawesi Tengah pada 5.02 petang, turut menyebabkan tsunami setinggi tiga meter di pantai Palu selain meragut kira-kira 800 nyawa.

Di kawasan perbandaran Taboli kira-kira 60 kilometer dari Palu, kereta dan motosikal terpaksa diletakkan di tepi jalan raya disebabkan kekurangan bahan api.

“Saya tidak dapat isi minyak kerana tidak jumpa stesen yang menjualnya,” kata Suhardi, bapa kepada tiga orang anak ketika ditemui agensi berita Xinhua pada malam Ahad.

Seorang budak lelaki (tengah) cuba mendapatkan air bersih dari tangki air bawah tanah di pusat pemindahan sementara di Palu, di Sulawesi Tengah selepas gempa bumi dan tsunami melanda kawasan itu. - Foto AFP

Beliau bersama isteri dan anak-anaknya merancang untuk ke rumah saudaranya di bandar Luwuk.

“Tiada bekalan makanan, elektrik dan air bersih, jadi saya memutuskan untuk ke rumah saudara dan tinggal di sana buat sementara waktu,” kata seorang pekerja swasta.

Menurutnya lagi, kawasan persekitaran rumahnya juga tercemar dengan bau busuk mayat.

“Saya terpaksa menggunakan kereta syarikat untuk ke Luwuk walaupun perlu melalui perjalanan yang lama, jika lapangan terbang beroperasi sudah tentu saya memilih menaiki pesawat” katanya.

Mangsa gempa bumi ditemui oleh pasukan Humas Basarnas di Palu, Indonesia. - Foto REUTERS

Lapangan terbang Palu ditutup selepas landasannya rosak dan buat masa ini ia hanya digunakan untuk operasi menghantar bantuan kemanusiaan.

Seorang pemandu kenderaan bantuan kemanusiaan, Dedi Burhan berkata, sukar untuk ke Palu memandangkan banyak jalan terhalang dan pasukan bantuan terpaksa menunggu jalan dibersihkan untuk meneruskan perjalanan.

Selain Palu, daerah Donggalag turut terjejas, bagaimanapun pihak berkuasa Indonesia sukar mendapatkan maklumat keadaan di daerah itu kerana talian komunikasi terputus sejak hari kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. – BERNAMA

Berita Harian X