Isnin, 1 Oktober 2018 | 9:03pm
SERAMAI 190,000 penduduk di Sulawesi memerlukan bantuan kemanusiaan dengan segera. - Foto EPA

190,000 penduduk perlukan bantuan segera di Sulawesi

PALU: Seramai 190,000 penduduk di Sulawesi memerlukan bantuan kemanusiaan dengan segera, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika memberi amaran mengenai keadaan di kawasan yang dilanda gempa dan tsunami.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan memberi amaran, daripada jumlah itu, 46,000 adalah kanak-kanak dan 14,000 adalah golongan tua, kebanyakannya berada di kawasan yang bukan menjadi fokus operasi bantuan kerajaan Indonesia.

Di daerah Poboya, kawasan berbukit tidak jauh dari bandar Palu, sekumpulan sukarelawan mula meletakkan mayat mangsa bencana selepas menerima arahan supaya bersedia mengebumi 1,300 mangsa.

Pihak berkuasa menghadapi keadaan terdesak untuk menyekat penyakit berjangkit disebabkan mayat yang mereput. Malah, ada mayat yang mula dihurung ulat.

Di Balaroa, penduduk sekadar mundar mandir di celah runtuhan rumah dan kemusnahan sekitarnya dengan tiga daripada mereka sedang mencari adik kandung.

Anggota penyelamat semakin terdesak untuk mengesan mangsa dan ia semakin sukar kerana kekurangan peralatan untuk menyelamat hampir 60 orang yang dikhuatiri ditimbus di Hotel One Palau..

Dua orang yang terselamat telah dikeluarkan daripada runtuhan hotel Hotel Roa-Roa dan adalah dijangka lebih ramai lagi orang akan selamat.

Stesen televisyen Metro pula memaparkan keadaan di daerah sebelah selatan Petobo, yang menunjukkan kemusnahan teruk di situ.

Pihak berkuasa menganggarkan di situ saja angka korban seramai 700 orang manakala kebanyakan daripada 1,747 kediaman musnah.

Jurucakap Perkhidmatan Bantuan Katolik, Yenni Suryani, berkata kemusnahan infrastruktur adalah penghalang utama misi menyelamat. -

“Kumpulan kemanusiaan sukar menghantar orang ke tempat yang bermasalah. Oleh itu, lapangan terbang utama di Palu telah direka untuk mengatasinya. - AFP

Berita Harian X