Selasa, 2 Oktober 2018 | 11:50am
Gabungan imej satelit menunjukkan Palu, Indonesia pada 22 September 2018 (atas) dan pada 1 Oktober 2018. - Foto REUTERS

Teluk panjang, sempit Palu cetuskan tsunami besar - Saintis

PARIS: Tsunami yang membinasakan bandar Indonesia di Palu amat besar berbanding gempa yang mencetuskannya, namun faktor lain termasuk teluk panjang dan sempit menyebabkan ombak gergasi terbentuk, kata saintis.

Sekurang-kurangnya 844 orang diketahui maut dalam bencana itu dan pihak berkuasa berkata, angka itu kemungkinan meningkat kepada ribuan orang.

Gempa magnitud 7.5, yang berlaku waktu maghrib Jumaat lalu, ketika ramai penduduk majoriti Islam berada dalam masjid, menyebabkan bangunan di sekitar Palu dan kawasan sekelilingnya, runtuh.

Namun, agak mustahil pertembungan keadaan geofizikal yang menyumbang peningkatan tsunami setempat seterusnya menghanyutkan banyak struktur lain sekali gus menambah angka korban.

“Ombak yang datang sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter tinggi serta kemungkinan dua kali ganda besarnya,” kata seorang felo penyelidik di Fakulti Sains dan Kejuruteraan Universiti Curtin, di Bentley, Barat Australia, Jane Cunneen, pencipta sistem amaran tsunami Lautan Hindi, dibangunkan mengikut panduan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, berdasarkan kekuatan gempa, ombak tsunami tidak sepatutnya sebegitu besar.

“Dalam kebanyakan kes, tsunami akibat janaan apa yang digelar tujahan gempa bumi, mewujudkan anjakan menegak di dasar laut,” kata seorang pakar tektonik Jabatan Sains Bumi Universiti Oxford, Baptiste Gombert.

Katanya, tsunami Palu, sebaliknya, dijana pergerakan gelinciran di mana potongan kerak bumi bergerak di atas atau di bawah antara satu sama lain di sepanjang satah mendatar.

“Pergerakan gelinciran biasanya kurang menjana tsunami kerana ia tidak menaikkan lantai lautan begitu banyak,” kata Cunneen. Justeru apa yang mencetuskan gelombang maut? Pakar memaklumkan kepada AFP, sekurang-kurangnya tiga faktor yang menyebabkan situasi itu.

Satu ialah terusan panjang air laut di penghujung bandar Palu yang terletak di kawasan tanah rendah.

“Bentuk teluk berkenaan sudah pasti memainkan peranan utama dalam menaikkan saiz gelombang. Teluk berkenaan bertindak sebagai corong di mana ombak tsunami melaluinya,” kata pakar gempa di Institut Sains Bumi Grenoble, Anne Socquet, yang mengkaji garis gelinciran seismik rantau itu.

Ketika teluk sempit dan menjadi lebih cetek, air ditolak dari bawah dan diberi tekanan dari tepi pada masa sama.

Faktor kedua ialah saiz dan lokasi gempa. Gempa kuat magnitud 7.5 tidak banyak direkodkan setiap tahun di kawasan itu.

“Gempa yang melanda Palu juga amat cetek, bermaksud pergerakan lantai lautan lebih besar,” kata Gombert.

Menjadikan situasi lebih buruk, perpecahan itu hampir dengan darat, meninggalkan masa sedikit atau jarak untuk ombak tersebar.

Faktor akhir, bukti keadaan menunjukkan tsunami diperbesarkan dengan keadaan bawah air yang bersamaan satu kejadian tanah runtuh.

“Gempa bumi mungkin mencetuskan satu tanah runtuh submarin berhampiran mulut teluk, atau malah dalam kawasan teluk sendiri,” kata Cunneen yang menuding dinding tanah curam. Ia menjelaskan bagaimana ombak begitu besar bila ia menghampiri Palu, namun lebih kecil di kawasan sekitar. -AFP

Berita Harian X