Selasa, 2 Oktober 2018 | 1:36pm
Pekerja Badan Pencari Kebangsaan Pencarian dan Penyelamat Indonesia (BASARNAS) mencari mangsa di bawah runtuhan sebuah rumah berhampiran Talise Beach semasa operasi menyelamat di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto EPA

Penyelamat berharap dapat temui mangsa masih hidup

PALU: Skala kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami di pulau Sulawesi Indonesia semakin jelas hari ini ketika penyelamat mula memasuki kawasan terpencil yang terputus hubungan selama lebih tiga hari.

Pihak berkuasa bimbang, angka kematian mungkin meningkat menjadi ribuan namun angka maut disahkan kekal 844 orang hari ini, majoritinya di bandar kecil di sini, sejauh 1,500 kilometer di timur laut Jakarta.

Sesetengah mayat mangsa dibawa ke kubur besar hari ini sementara penyelamat mencari mangsa dalam runtuhan dengan harapan mereka dapat diselamatkan hidup-hidup.

“Kami mengesyaki masih ada mangsa terperangkap dalam runtuhan,” kata ketua pasukan penyelamat, Agus Haryoko kepada Reuters di tapak runtuhan hotel tujuh tingkat, Hotel Roa-Roa.

Anggota mencari dan menyelamat Indonesia mencari mangsa yang terselamat di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto AFP

Kira-kira 50 orang dipercayai terperangkap dalam hotel ketika ia runtuh akibat gempa magnitud 7.5 Jumaat lalu.

Gempa terbabit mencetuskan ombak tsunami setinggi enam meter yang membinasakan kawasan tepi pantai bandar ini, sejauh dua kilometer dari hotel terbabit. Kira-kira 12 orang ditemui dari runtuhan hotel dengan tambahan satu mayat hari ini. Tiga daripada mangsa ditemui masih hidup.

Agus membentangkan pelan induk dan bangunan hotel berkenaan, mencari ruang mungkin melaluinya. Bau busuk mayat mereput menguasai suasana.

“Kami perlu berhati-hati supaya tidak berisiko mencederakan mana-mana mangsa apabila mengalih runtuhan,” katanya.

Bekalan elektrik belum dipulihkan di kawasan itu dan akses melalui darat ke perkampungan sekitar terjejas akibat jalan rosak, tanah dan jambatan runtuh.

Hampir 60,000 penduduk hilang tempat tinggal dan amat memerlukan bantuan kecemasan, sementara ribuan lain berpusu-pusu keluar dari kawasan terjejas.

Ada kebimbangan meningkat di Donggala, rantau dihuni 300,000 orang di utara Palu dan hampir dengan pusat gempa serta dua daerah lain. Ketiga-tiga kawasan itu memiliki jumlah penduduk 1.4 juta orang.

Indonesia berkata, ia akan menerima bantuan antarabangsa, setelah menutup tawaran luar awal tahun ini apabila gempa melanda pulau Lombok.

Di tempat lain di pinggir bandar ini, lori membawa 35 mayat untuk ditanam dalam kubur besar menggali tanah berpasir. Kebanyakan mayat tidak dituntut, kata seorang anggota polis yang membantu. Segelintir saudara mara memberi penghormatan orang tersayang dalam kubur sebesar 50 meter, di mana bau mayat mereput amat kuat.

“Saya sehelai sepinggang. Rumah saya musnah dan saya malah tidak dapat mengebumikan suami. Tidak mengapa beliau dikebumikan dalam kubur besar, ia lebih baik,” kata Rosmawati Yahya, 52, yang mana suaminya antara yang dikuburkan sebelum mencari anak perempuannya yang hilang.

“Situasi di kawasan terjejas umpama mimpi ngeri. Bandar Palu binasa dan laporan pertama dari Donggala menunjukkan ia juga terjejas teruk,” kata ketua Persekutuan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, Jan Gelfand, dalam satu kenyataan di Jakarta.

Syarikat penerbangan komersial bergelut memulihkan operasi namun pesawat tentera mengambil beberapa mangsa keluar semalam, sementara 3,000 lagi berlegar-legar di lapangan terbang berharap mendapatkan mana-mana penerbangan untuk keluar.

Sebuah kapal tentera laut berupaya menampung 1,000 orang pada satu masa dijangka dikerah untuk membantu pemindahan. -Reuters

Berita Harian X