Rabu, 3 Oktober 2018 | 1:08pm
Presiden Indonesia Joko Widodo mengunjungi kawasan yang terkena gempa di kabupaten Petobo, Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto REUTERS
Presiden Indonesia Joko Widodo mengunjungi kawasan yang terkena gempa di kabupaten Petobo, Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto REUTERS

Masa kian suntuk, cari mangsa terselamat hingga Jumaat

PALU: Masa semakin suntuk untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan gempa bumi dan tsunami di bandar Sulawesi Tengah sini, lima hari selepas bencana itu melanda, sementara mangsa terselamat semakin berang menunggu operasi menyelamat untuk dipindahkan ke tempat tinggi.

Angka rasmi kematian akibat gempa magnitud 7.5 di pantai barat pulau Sulawesi Jumaat lalu mencatat hampir 1,400 orang hari ini dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keperluan ‘amat besar’ masih belum dipenuhi.

Pihak berkuasa menetapkan sehingga Jumaat ini untuk mencari sesiapa yang masih terperangkap di bawah runtuhan, seminggu selepas bencana, dengan peluang menemui mangsa menurun ke hampir sifar.

Askar memunggah bekalan bantuan dari pesawat tentera untuk mangsa gempa dan tsunami di Lapangan Terbang Mutiara Sis Al Jufri di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto REUTERS
Askar memunggah bekalan bantuan dari pesawat tentera untuk mangsa gempa dan tsunami di Lapangan Terbang Mutiara Sis Al Jufri di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto REUTERS

Penyelamat kerajaan memberi tumpuan enam kawasan utama di sekitar bandar tepi laut paling teruk terjejas di sini iaitu Hotel Roa-Roa di mana sehingga 60 orang dipercayai tertimbus, sebuah pasar raya, restoran dan kawasan Balaroa di mana kekuatan gempa menukar kawasan itu menjadi tanah lumpur.

Hampir 200,000 orang memerlukan bantuan segera, kata pejabat kemanusiaan PBB, antaranya puluhan ribu kanak-kanak dengan anggaran 66,000 rumah musnah atau rosak akibat gempa magnitud 7.5 dan tsunami.

Walaupun kerajaan Indonesia menggesa pasukan penyelamat asing supaya ‘berundur’ kerana krisis mampu ditangani, penduduk di perkampungan terpencil terjejas teruk seperti Wani di wilayah Donggala berkata, sedikit bantuan tiba dan harapan kian pudar.

“Dua belas orang di kawasan ini belum ditemui. Di kawasan ini sehingga selatan, oleh kerana tiada pemindahan, kami tidak tahu jika ada mayat. Jika ada jumlahnya mungkin banyak,” kata Mohammad Thahir Talib kepada AFP.

Di Geneva, PBB menyuarakan kekecewaan berikutan perkembangan lambat maklum balas.

“Masih banyak kawasan besar yang mungkin terjejas teruk tetapi gagal dimasuki, namun pasukan berusaha melakukan apa yang terdaya,” kata Jens Laerke dari pejabat kemanusiaan PBB semalam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan di seluruh Donggala, kira-kira 310,000 orang terjejas akibat bencana itu.

Mangsa terselamat bergelut menahan lapar dan dahaga dengan bekalan makanan dan air tidak mencukupi selain hospital dibanjir penduduk yang cedera.

Pihak berkuasa di darat berkata, ketika kerajaan kini merayu bantuan, masih tiada mekanisme untuk dilaksanakan.

Pendaratan di lapangan terbang di sini dikuasai tentera Indonesia walaupun ia dijangka dibuka kepada pesawat komersial bermula 7.59 pagi esok (Khamis). -AFP/Reuters

Berita Harian X