Sabtu, 6 Oktober 2018 | 1:45pm
PASUKAN penyelamat mengeluarkan amaran mengenai ancaman penyakit selepas lebih banyak mayat mangsa ditemui di bawah runtuhan bangunan. - Foto EPA

Palu diancam penyakit ketika angka kematian cecah 1,571

PALU: Pasukan penyelamat hari ini, mengeluarkan amaran mengenai ancaman penyakit di kawasan dilanda gempa bumi dan tsunami di sini, selepas lebih banyak mayat mangsa ditemui di bawah runtuhan bangunan.

Menurut pihak berkuasa, ribuan penduduk dilaporkan masih hilang di kawasan tragedi di pulau Sulawesi akibat bencana berkenaan, yang setakat ini mengorbankan 1,571 mangsa.

Selepas tragedi malang itu masuk hari kelapan, harapan untuk menemui mangsa yang hidup tetap ada, walaupun ia semakin menipis.

Ketika ini, pihak berkuasa masih belum secara rasminya menamatkan operasi menjadi mangsa yang terselamat.

“Sebahagian besar mayat ditemui dalam keadaan tidak sempurna, sekali gus mendedahkan ancaman kepada penyelamat.

“Kami perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang pencemaran.

“Walaupun kesemua anggota penyelamat sudah diberi suntikan vaksin, kami masih perlu berhati-hati kerana mereka terdedah kepada elemen yang boleh membahayakan kesihatan.

“Kebimbangan ini turut membabitkan orang awam, kerana sukar untuk mengawal kehadiran mereka. Mereka mungkin terdedah kepada bahaya,” kata jurucakap pasukan mencari dan menyelamat Indonesia, Yusuf Latif kepada AFP dari Palu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, memohon bantuan segera bernilai AS$50.5 juta (RM209.3 juta) bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Indonesia. - AFP

Berita Harian X