Selasa, 9 Oktober 2018 | 7:56am
JUMLAH mangsa dipercayai hilang akibat gempa bumi dan tsunami meningkat kepada 5,000 orang. - Foto Reuters

5,000 masih hilang di Palu

PALU: Jumlah mangsa dipercayai hilang akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda bandar terletak di Sulawesi Tengah di sini, 28 September lalu meningkat kepada 5,000 orang, kata seorang pegawai kelmarin, petunjuk lebih ramai mungkin maut dalam bencana berganda itu.

Agensi bencana Indonesia berkata, mereka menemui 1,944 mayat setakat ini susulan bencana berkekuatan magnitud 7.5 itu.

Namun ada kebimbangan dua kejiranan paling teruk terjejas di Petobo dan Balaroa di sini, mungkin mengandungi ribuan mangsa, ditelan bumi yang menimbus keseluruhan komuniti itu dalam proses dikenali sebagai pencecairan.

“Berdasarkan laporan daripada ketua kampung Balaroa dan Petobo, ada kira-kira 5,000 orang yang tidak ditemui.

“Namun begitu, pihak berkuasa masih cuba mengesahkan angka itu dan mengumpul data. Tidak mudah memperoleh jumlah sebenar mangsa yang terperangkap akibat tanah runtuh atau pencecairan atau lumpur,” kata jurucakap agensi itu, Sutopo Purwo Nugroho kelmarin.

Sutopo berkata, pencarian mangsa yang belum dikira akan diteruskan sehingga 11 Oktober (Khamis), dan mereka yang disenaraikan sebagai hilang, dianggap meninggal dunia.

Angka itu meningkat secara drastik berbanding anggaran mereka yang hilang apabila bencana itu melanda 11 hari lalu.

Pihak berkuasa pada mulanya meramalkan kira-kira 1,000 orang tertimbus di bawah runtuhan di sini. Namun angka terbaharu itu memaparkan kemusnahan ketara di kawasan terjejas teruk di Petobo dan Balaroa ketika gambar muka bumi semakin jelas.

Petobo, sebuah perkampungan kelompok di sini, terhapus dari segi fizikal akibat gempa bumi kuat serta dinding air yang membinasakan bandar ini. Kebanyakannya disedut secara keseluruhan ke dalam tanah ketika getaran akibat gempa menukar tanah kepada tanah jerlus.

Sementara itu, penyelamat menamatkan pencarian di Hotel Roa-Roa semalam, yang bertukar rata akibat kekuatan gempa. Hotel itu menjadi fokus awal usaha menyelamat untuk mengeluarkan mangsa, dengan tujuh mangsa ditarik masih hidup.

Seorang pegawai mencari dan menyelamat di tempat kejadian, Agus Haryono yang mengesahkan penamatan pencarian berkata, 27 mayat ditemui dari hotel termasuk tiga dari runtuhan kelmarin.

Antara yang disahkan maut adalah lima para-peluncur yang berada di sini untuk pertandingan termasuk seorang atlet Sukan Asia dan rakyat Korea Selatan. -AFP

s

Berita Harian X