Isnin, 29 Oktober 2018 | 12:04pm
BEBERAPA serpihan daripada pesawat Lion Air JT 610 yang jatuh di perairan Karawang, Jakarta Utara. - Foto ihsan Sutopo Purwo Nugroho
BEBERAPA serpihan daripada pesawat Lion Air JT 610 yang jatuh di perairan Karawang, Jakarta Utara. - Foto ihsan Sutopo Purwo Nugroho

Bot tunda temui serpihan pesawat - BASARNAS

JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BASARNAS) menerima laporan bahawa pegawai kawalan trafik udara terputus hubungan dengan pesawat Lion Air dari Jakarta sejak pagi tadi.

Pesawat berkenaan sedang dalam penerbangan ke Pulau Pangkal Pinang di Bangka Belitung, Sumatera.

Pegawai di Tanjung Priok, Utara Jakarta, Suyadi memberitahu The Jakarta Post, beliau dimaklumkan pada jam 6.45 pagi (waktu tempatan) berhubung penemuan sebuah pesawat oleh bot tunda, AS Jaya II yang disyaki sebagai milik Lion Air di Tanjung Bungin di Karawang, Jawa Barat.

“Kami mendapati hubungan sudah terputus dengan pesawat Lion Air sejurus selepas ia meninggalkan Jakarta.

“Pada jam 7.15 pagi (waktu tempatan), bot tunda melaporkan menemui serpihan pesawat di lokasi kejadian,” kata Suyadi yang menambah, sehingga jam 9 pagi (waktu tempatan), mereka masih tidak menerima sebarang laporan mengenai penumpang dalam pesawat itu.


BEBERAPA serpihan daripada pesawat Lion Air JT 610 yang jatuh di perairan Karawang, Jakarta Utara. - Foto ihsan Sutopo Purwo Nugroho

Dua lagi kapal, terdiri daripada kapal tangki minyak dan kapal kargo yang berada berhampiran juga sedang menuju ke lokasi kejadian, katanya sambil memberitahu, sebuah bot penyelamat milik Basarnas juga digerakkan ke lokasi.

Maklumat yang diperoleh oleh Jakarta Post menyatakan pesawat Lion Air 610 itu berlepas dari Jakarta pada jam 6.20 pagi (waktu tempatan) dan terputus hubungan 13 minit selepas itu. Ketika kejadian pesawat berkenaan dipercayai membawa 188 penumpang dan anak kapal. - Agensi

Berita Harian X