Isnin, 29 Oktober 2018 | 1:36pm
Gambar disediakan oleh Search and Rescue Indonesia (BASARNAS) menunjukkan para penyelamat Indonesia di lokasi pesawat penumpang Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang, Jawa Barat, Indonesia. - Foto EPA

Juruterbang minta kebenaran berpatah balik sebelum nahas

JAKARTA : Pesawat Lion Air yang terhempas di Laut Jawa bersama 188 penumpang dan anak kapal pagi tadi cuba berpatah balik ke ibu negara selepas dibenarkan berbuat demikian oleh pejabat kawalan trafik udara.

Ia bagaimanapun terputus hubungan 13 minit selepas meninggalkan lapangan terbang sebelum disahkan terhempas di lautan.

Rakaman video di lokasi kejadian turut menunjukkan kesan tumpahan minyak pada permukaan air.

Jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho memuat naik foto itu di Twitter termasuk apa yang dilihat sebagai gelongsor kecemasan dan beberapa serpihan telefon bimbit.

Gambar disediakan oleh Search and Rescue Indonesia (BASARNAS) menunjukkan para penyelamat Indonesia mengalihkan bahagian dari pesawat penumpang Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang, Jawa Barat, Indonesia. - Foto EPA

Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) Yusuf Latif berkata, pihak berkuasa masih berusaha mengesan bangkai pesawat yang terputus hubungan pada jam 6.33 pagi (waktu tempatan) ketika sedang dalam perjalanan ke Pangkal Pinang di kepulauan Bangka.

“Pesawat itu memohon kebenaran untuk pulang ke pangkalan sebelum hilang dari radar,” katanya dalam satu kenyataan.

Laman web Flightradar ketika mengesan perjalanan pesawat dipercayai dari jenis Boeing 737 itu memberitahu ia membuat pusingan ke selatan untuk berlepas dan menuju ke bahagian utara sebelum berakhir mendadak di Laut Jawa.

Indonesia banyak bergantung kepada pengangkutan udara bagi menghubungkan ribuan pulau di negara itu namun rekod sistem keselamatan yang buruk menyebabkan ia sering kali berdepan dengan tragedi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - AFP

Berita Harian X