Isnin, 29 Oktober 2018 | 2:19pm
- Foto Hiasan

Juruterbang Lion Air miliki pengalaman lebih 7 tahun

JAKARTA: Pesawat Lion Air JT 610 yang dalam penerbangan dari Jakarta-Pangkal Pinang (Bangka Belitung) yang terhempas di sekitar perairan Daerah Karawang diterbangkan oleh Kapten Bhavye Suneja dan pembantu juruterbang Harvino.

Menurut laporan Liputan6.com, penerbangan yang membawa 188 penumpang dan anak kapal itu, terdiri daripada 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan seorang bayi.

Pesawat malang itu juga membawa tiga pramugari pelatih dan seorang juruteknik. Selain juruterbang dan pembantu, enam anak kapal yang turut berada di dalam pesawat itu dikenal pasti sebagai Shintia Melina, Citra Novita Anggelia, Alviani Hidayatul Solikha, Damayanti Simarmata, Mery Yulianda, dan Deny Maula.

Laman Liputan6.com yang memetik butir peribadi juruterbang dari laman LinkedIn mendedahkan, Bhavye memulakan kerjayanya bersama Lion Air sejak Mac 2011 iaitu, 7 tahun 8 bulan dengan jumlah 6,000 jam penerbangan.

Sebelum menyertai Lion Air, beliau adalah juruterbang pelatih bersama penerbangan Emirates, Dubai selama empat bulan, dari September hingga Disember 2010.

Juruterbang itu juga dikatakan mendapatkan lesen penerbangan daripada Bel-Air International, sebuah sekolah penerbangan di San Carlos, California, Amerika Syarikat bermula dari 2007 hingga 2009.

Pesawat yang dikenalikan Bhavye terhempas ke laut selepas gagal melakukan pendaratan di air, selepas 13 minit berada di udara pada kedudukan koordinat S 5’49.052" E 107’ 06.628" di perairan Karawang. - Agensi

Berita Harian X