Ahad, 4 November 2018 | 5:19pm
Turbin enjin dari bangkai pesawat Lion Air JT610 diangkut ke atas sebuah treler di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS

Tempoh mencari mangsa, kotak hitam kedua dilanjutkan

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia hari ini membuat keputusan melanjutkan tempoh mencari mangsa dan kotak hitam kedua di lokasi nahas pesawat Lion Air yang terhempas minggu lalu.

“Kami memutuskan melanjutkan tempoh pencarian tiga hari lagi bermula esok,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat (BASARNAS), Muhammad Syaugi, pada satu sidang media.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian dan pemerhatian di lokasi nahas serta menyedari masih banyak mayat mangsa yang belum ditemui.

Sehingga hari ini, sejumlah 105 beg, dengan sebilangan kecil mengandungi mayat yang masih sempurna, sudah diserahkan kepada polis untuk proses pengenalan identiti namun hanya tujuh mangsa berjaya dikenal pasti.

Fokus utama BASARNAS ketika ini adalah untuk mencari baki mayat mangsa dan perakam suara kokpit (CVR) atau kotak hitam kedua dari bangkai pesawat Boeing 737 Max terhempas di Laut Jawa awal pagi Isnin lalu, 13 minit selepas meninggalkan Jakarta.

Penyelam pada ketika ini bergantung pada isyarat ping untuk mencari kotak hitam kedua, serentak dengan usaha penyiasat memperoleh data dari kotak hitam pertama yang ditemui Khamis lalu.

“Isyarat yang diperoleh pengesan ping itu telah digunakan sebaiknya namun kumpulan penyelam masih belum menemui kotak hitam kedua itu,” katanya. - Reuters

Berita Harian X