Khamis, 27 Disember 2018 | 3:44pm
Letusan gunung berapi Anak Krakatau dapat dilihat dari sebuah kapal di Selat Sunda semalam. Indonesia menaikkan paras amaran bahaya untuk gunung berapi itu selepas mengesan aktiviti baharu pagi ini. -Foto AFP

Indonesia naikkan paras amaran Anak Krakatau

CARITA: Indonesia menaikkan amaran paras bahaya untuk gunung berapi Anak Krakatau yang menjana tsunami hujung minggu lalu selepas amaran sebelumnya bahawa aktiviti baharu di kawah terbabit mengancam mencetuskan satu lagi gelombang maut.

Pihak berkuasa juga meluaskan zon larangan di sekitar Anak Krakatau yang aktif sehingga lima kilometer berbanding dua kilometer sebelumnya serta memberi amaran penduduk menjauhkan diri dari pantai selepas lebih 400 orang terbunuh apabila tsunami membadai malam Sabtu lalu.

Kepulan debu melonjak ke udara sebagai aliran piroklastik (terdiri daripada gas panas dan bahan gunung berapi lain), mengalir ke kawah, mengancam sesiapa yang hampir dengan gunung berapi terbabit serta menaikkan risiko gelora ganas untuk bot dalam lingkungan itu.

“Wujud bahaya lebih banyak letusan. Orang ramai berhampiran gunung berapi mungkin terkena batu, aliran piroklastik dan abu tebal,” kata jurucakap agensi bencana nasional Sutopo Purwo Nugroho.

Pihak berkuasa menaikkan status kawah kepada peringkat tinggi, amaran kedua tertinggi dalam skala bahaya empat mata negara itu, sementara pegawai penerbangan mengarahkan pesawat dilencongkan jauh dari kawasan itu.

“Kami menaikkan status gunung berapi sejak pagi tadi kerana ada perubahan dalam corak letusan,” kata pegawai kanan pusat pemantauan Krakatau, Kus Hendratno. -AFP

Berita Harian X