Khamis, 27 Disember 2018 | 7:11pm
Gambar fail diambil 9 Oktober 2011 menunjukkan penumpang tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, Filipina. -Foto AFP

AS beri amaran pelawat ke Filipina

MANILA: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada rakyatnya, kawalan keselamatan di lapangan terbang utama Filipina di sini tidak memenuhi standard antarabangsa, menggesa pelawat ‘mengamalkan langkah berhati-hati peringkat tinggi.’

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengeluarkan satu nasihat perjalanan semalam mengatakan, kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di sini tidak konsisten dengan piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Amalkan langkah berhati-hati peringkat tinggi apabila berulang alik dari atau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino,” kata Kedutaan AS di sini di laman webnya memetik nasihat berkenaan.

AS beri amaran kepada rakyatnya, kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Ninoy Aquino tidak memenuhi standard antarabangsa. -Foto AFP

Nasihat itu adalah berdasarkan satu penilaian pakar keselamatan daripada Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA), kata jabatan berkenaan tanpa memperincikan penemuan itu.

Satu ketika dulu pernah digelar lapangan terbang terburuk dunia berikutan tandas bocor dan kemudahan usang, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino adalah pintu masuk utama ke negara Asia Tenggara itu.

Satu kenyataan di laman web jabatan berkenaan berkata, agensi itu mengarahkan syarikat penerbangan yang mengeluarkan tiket untuk pelancong antara dua negara supaya memaklumkan penumpang berhubung penilaian itu.

Ia menambah, wakil TSA bekerja sama dengan kerajaan Filipina untuk ‘menilai pihak berkuasa lapangan terbang dan pengangkutan bagi membawa lapangan terbang itu ke tahap piawaian keselamatan antarabangsa.’

Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Manila, Ed Monreal berkata hari ini, Filipina akan mematuhi standard keselamatan penerbangan antarabangsa.

Semua fakta dibangkitkan penilai pentadbiran keselamatan pengangkutan TSA sama ada sudah ditangani atau sedang dalam proses ditangani,” kata Monreal kepada media menambah, lapangan terbang itu amat selamat. -AFP

Berita Harian X