Isnin, 7 Januari 2019 | 7:38pm
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Keluarga Lee Hsien Loong kembali bercakaran

SINGAPURA: Kedamaian yang dicapai susulan pertelingkahan yang menimpa keluarga pengasas negara pulau ini kembali tercetus apabila isteri kepada abang Perdana Menteri Lee Hsien Loong mungkin terbabit dengan salah laku profesional, kata pendakwa raya.

Pertelingkahan memuncak membabitkan kes berbeza kali ini apabila kakak ipar Hsien Loong, seorang peguam korporat terkemuka, dirujuk kepada badan yang mengawasi tugas peguam atas dakwaan salah laku profesional.

Badan pendakwaan kerajaan, Jabatan Peguam Negara (AGC), berkata pembabitan Lee Suet Fern dalam penyediaan wasiat terakhir bapa mentuanya, mendiang Lee Kuan Yew menimbulkan konflik kepentingan kerana suaminya adalah salah seorang penerima.

“Saham Lee Hsien Yang di dalam wasiat terakhir itu meningkat,” kata AGC dalam satu kenyataan.

Pihak AGC sudah beberapa kali meminta Suet Fern untuk menjelaskan kedudukannya sejak Oktober lalu tetapi tidak menerima sebarang jawapan.

Ia mendorong AGC untuk merujuk perkara terbabit kepada badan peguam profesional untuk tindakan disiplin.

Pertelingkahan adik beradik Lee mula didedahkan kepada umum pada 14 Jun 2017, apabila Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling mengeluarkan satu kenyataan bersama menuduh Hsien Loong menentang keinginan bapa mereka untuk merobohkan banglo milik keluarga dan menyalahgunakan kuasa.

Ia mula reda apabila mereka bersepakat untuk menghentikan sebarang serangan di media sosial.

Wei Ling berkata dalam muat naik di Facebook yang turut dikongsi Hsien Yang bahawa aduan AGC sebanyak 500 halaman itu adalah pengulangan dakwaan yang dibuat oleh Hsien Loong. - AFP

Berita Harian X