Khamis, 24 Januari 2019 | 12:42pm
Pegawai polis Indonesia memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. - Foto EPA
Para sukarelawan Indonesia mengalihkan mangsa banjir dengan bot angin di Makasar, Sulawesi Selatan, Indonesia. - Foto EPA

Banjir besar korbankan 21 nyawa di Sulawesi Selatan

JAKARTA: Banjir buruk yang melanda Sulawesi Selatan sejak kelmarin, dilaporkan mengorbankan 21 nyawa setakat ini.

Menurut kenyataan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), kawasan yang terbabit banjir adalah Kota Makassar dan enam kabupaten iaitu Gowa, Takalar, Jeneponto, Maros, Pangkep, dan Barru.

“Setakat pagi ini, lebih 5,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua BNPB Daerah Sumatera Selatan, Syamsibar, dipetik media tempatan Indonesia sebagai berkata, setakat ini seramai 41 orang dilaporkan masih hilang.

Beliau berkata, penempatan penduduk terbabit dinaiki air antara satu hingga hampir tiga meter, selain berlaku beberapa kejadian tanah runtuh, manakala kawasan keseluruhan banjir membabitkan kawasan melebihi 10,000 hektar.

“Badan Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) meramalkan hujan lebat berterusan sehingga esok di Sulawesi Selatan, penduduk diminta berjaga-jaga dan berpindah ke kawasan selamat jika diarahkan berbuat demikian,” katanya.

Setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa dalam kejadian banjir itu.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta turut memantau perkembangan berkenaan dan meminta rakyat Malaysia yang berada di Sulawesi Selatan agar mematuhi arahan pihak berkuasa,” kata jurucakap kedutaan. – BERNAMA

Berita Harian X