Sabtu, 9 Februari 2019 | 1:49pm
Puteri Ubolratana ketika menghadiri satu majlis rasmi di Bangkok, Thailand pada Oktober 2017. Foto EPA

Puteri Ubolratana hargai sokongan rakyat Thailand

BANGKOK: Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya, selepas mengumumkan bakal bertanding merebut jawatan Perdana Menteri Thailand dalam pilihan raya pada Mac ini.

Beliau turut meluahkan hasrat untuk melihat Thailand terus mencapai kejayaan pada masa depan, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai pencalonannya, yang mendapat bantahan adiknya, Raja Maha Vajiralongkorn.

Puteri berusia 67 tahun itu mengejutkan rakyat Thailand semalam, apabila mengumumkan beliau bertanding sebagai calon perdana menteri, mewakili Thai Raksa Chart yang setia kepada bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra.

Pembabitannya dalam politik turut memecah tradisi keluarga diraja Thailand, tetapi dijangka tidak mendapat pengesahan Suruhanjaya Pilihan Raya, susulan bantahan Raja Maha Vajiralongkorn.

Malah, parti Thai Raksa Chart yang mencalonkan Puteri Ubolratana enggan mengulas lanjut kenyataan Raja Maha Vajiralongkorn, namun bertindak membatalkan acara kempen yang sudah dirancang lebih awal.

Raja Maha Vajiralongkorn, 66, dalam satu kenyataan semalam, berkata keputusan kakaknya untuk bertanding sebagai calon pilihan raya, adalah tidak sesuai dan ia bercanggah dengan Perlembagaan, yang menolak campur tangan keluarga diraja dalam politik. - Reuters

Berita Harian X