Isnin, 18 Februari 2019 | 4:29pm
SEORANG anggota polis mengawal Kompleks Sukan Gelora Bung Karno Senayan, Jakarta Tengah, berhampiran lokasi kedua debat pilihan raya presiden 2019. - Foto Reuters

Polis Indonesia sahkan bunyi letupan adalah mercun

JAKARTA: Polis mendakwa bunyi letupan di Kompleks Sukan Gelora Bung Karno Senayan, Jakarta Tengah, berhampiran lokasi kedua debat pilihan raya presiden 2019 malam semalam disebabkan oleh mercun dan bukan bom.

“Bunyi bising itu adalah mercun. Tetapi kami masih menjalankan siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Gatot Eddy Pramono kepada wartawan semalam.

Beliau berkata pihak polis turut memasang pita larangan masuk untuk menghalang orang awam daripada menceroboh lokasi kejadian dan masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman CCTV yang disiarkan dalam talian menunjukkan sebuah kereta putih berhenti sebentar sebelum kejadian diikuti kepulan asap putih dan letupan.

Gatot berkata pihak polis tidak akan menambah pasukan keselamatan kerana mereka sudah menyediakan perincian keselamatan untuk acara berkenaan.

“Kami hanya akan menjalankan siasatan jenayah,” katanya yang menambah tiada laporan kecederaan mahupun kerosakan diterima akibat kejadian itu. - Agensi

Berita Harian X