Selasa, 19 Februari 2019 | 7:27pm

Wabak campak ragut lebih 130 nyawa di Filipina

MANILA: Pihak berkuasa kesihatan Filipina baru-baru ini mengesahkan lebih daripada 130 orang, kebanyakannya kanak-kanak maut akibat jangkitan demam campak manakala 8,400 lagi jatuh sakit susulan wabak itu yang sebahagian besarnya berpunca akibat ketakutan kepada vaksin.

Jangkitan terbabit melonjak melebihi 1,000 peratus di Manila, ibu negara dengan kepadatan penduduk melebihi 12 juta pada Januari lalu, berbanding tahun sebelumnya.

Sumber kerajaan berkata, sebahagian daripada 136 pesakit yang maut akibat demam campak itu terdiri daripada kanak-kanak dan sejumlah besar mereka tidak mengambil suntikan vaksin..

Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque III Isnin lalu berkata, kempen imunisasi besar-besaran yang bermula minggu lalu di Manila dan empat wilayah lain dijangka mampu membendung penyebaran wabak berkenaan menjelang April nanti.

“Tiada kalau, tiada tapi, tiada syarat. Anda cuma perlu membawa anak dan percaya kepada vaksin. Ia mampu menyelamatkan mereka. Itu adalah satu-satunya penyelesaian pada wabak ini,” kata Duque sambil menggesa kesemua ibu bapa mematuhi saranan berkenaan.

Dalam satu pesanan menerusi televisyen Jumaat lalu, Presiden Rodrigo Duterte memberi amaran bahawa penyakit terbabit mampu menyebabkan maut dan menggesa semua kanak-kanak diberikan suntikan imunisasi.

Duque berkata, kempen penerangan dijalankan kerajaan berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap program imunisasi selepas dicemarkan kontroversi pada tahun 2017.

Pada tahun itu, vaksin anti denggi oleh pembuat Sanoli Pasteur dari Perancis didapati bertanggungjawab menyebabkan kematian sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak.

Kerajaan Filipina menghentikan imunisasi anti denggi itu selepas kajian Sanofi mendapati vaksin berkenaan boleh meningkatkan risiko jangkitan denggi yang teruk.

Lebih daripada 830,000 kanak-kanak disuntik dengan vaksin Dengvaxia di bawah kempen yang dilancarkan pada 2016 di bawah pemerintahan Presiden Benigno Aquino III dan diteruskan di bawah Duterte sehingga dihentikan pada 2017. - Agensi

Berita Harian X