Khamis, 14 March 2019 | 1:50pm
Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo. - Foto Reuters

Jokowi enggan batal lawatan ke Sibolga

JAKARTA: Polis Nasional Indonesia mengesahkan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo tidak akan membatalkan lawatan kerja ke Sumatera Utara esok, walau selepas pihak berkuasa membuat serbuan dan tangkapan pengganas di Sibolga, lokasi beliau dijadual merasmikan Pelabuhan Sibolga yang baharu diperbesarkan.

Jurucakap Polis Indonesia, Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo berkata bandar pelabuhan itu terjamin selamat.

“Presiden Jokowi akan meneruskan lawatan kerana keadaan keselamatan di sini terkawal,” kata Dedi kepada wartawan, di Medan, Sumatera Utara semalam.

Ketua Polis Sumatera Utara, Inspektor Jeneral Agus Adrianto menafikan spekulasi serbuan dan tangkapan itu ada kaitan dengan jadual lawatan Presiden.

“Ia tiada kena mengena dengan lawatan itu. Insiden itu sebaliknya ada kaitan dengan penahanan seorang suspek pengganas di Lampung,” katanya kepada Jakarta Post .

Semalam, isteri dan anak suspek pengganas, Husein atau Abu Hamzah meletupkan diri di kediaman mereka di Sibolga susulan penahanan Husein.

Bom meledak ketika polis sedang berunding dan memujuk isteri serta anak pengganas terbabit menyerah diri. Seorang anggota polis turut tercedera selepas satu peranti letupan meledak Selasa lalu.

Abu Hamzah disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas disokong Daesh (IS), Jamaah Ansharut Daulah (JAD).

Dia ditangkap selepas pasukan Polis anti-keganasan Densus 88, menerima maklumat daripada suspek pengganas JAD dikenali sebagai Ro di Lampung hujung minggu lalu.

Polis kini sedang giat mengumpul maklumat forensik di kediaman suspek. - Agensi

Berita Harian X