Selasa, 19 March 2019 | 7:33pm
ENAM orang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan ketika tentera Myanmar giat memburu kumpulan pemisah etnik Rakhine di bandar Mrauk U barat. - Foto AFP

Enam cedera tentera Myanmar, Arakan bertempur

YANGON: Sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan ketika tentera Myanmar giat memburu kumpulan pemisah etnik Rakhine di bandar Mrauk U barat dekat sini, kata penduduk hari ini.

Kenyataan tentera menyatakan kumpulan konvoi diserang hendap semasa memasuki bandar kuil bersejarah itu.

Pihak tentera memasuki bandar Mrauk U malam semalam selepas beberapa minggu pasukan keselamatan melancarkan kempen memburu kumpulan militan dikenali sebagai Tentera Arakan (AA).

Tentera berkata, anggota pemisah menyerang sekumpulan konvoi tentera yang sedang menghampiri Mrauk U sebelum berundur ke kawasan perumahan di bandar terbabit.

“Terdapat insiden berbalas tembakan,” katanya.

Seorang sami, Myo Oo Khaung Sayataw berkata beliau membawa enam mangsa yang cedera ke hospital malam semalam.

“Saya terpaksa pergi kepada mangsa yang cedera itu kerana tiada siapa berani keluar.

“Saya menyaksikan enam kenderaan tentera dan mereka melepaskan tembakan di merata-rata,” katanya.

Tambahnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun antara mangsa mengalami kecederaan.

Mrauk U, bekas ibu kota kerajaan kuno, antara lokasi terkenal dikalangan pelancong asing untuk datang melihat kuil yang berusia ratusan tahun, di mana kerajaan Myanmar mengiktirafnya sebagai Tapak Warisan Dunia. -Reuters.

Berita Harian X