Khamis, 21 March 2019 | 12:52pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika bertemu penyokongnya di Jakarta, baru-baru ini. Foto AFP

Gabungan parti Jokowi dijangka kuasai Parlimen

JAKARTA: Gabungan parti politik yang menyokong Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dijangka meraih lebih daripada separuh undian dalam pilihan raya bulan depan.

Menurut hasil tinjauan pendapat yang diterbitkan hari ini, ia akan membolehkan gabungan parti itu mengawal Parlimen Indonesia.

Indonesia bakal mengadakan pilihan raya presiden dan Parlimen secara serentak pada 17 April ini.

Menurut Litbang Kompas, sebanyak 10 parti politik yang menyokong Jokowi diramal memperoleh 52.3 peratus undi, sementara gabungan yang menyokong pencabarnya, Prabowo Subianto, bakal memperoleh 29.5 peratus undi.

“Hampir 20 peratus pengundi masih belum membuat sebarang keputusan,” kata pengendali tinjauan pendapat, yang juga sebahagian daripada akhbar terbesar Indonesia, Kompas.

Tinjauan itu diadakan pada akhir Februari lalu hingga awal Mac lalu.

Jokowi berjaya membentuk kerajaan minoriti apabila memenangi pilihan raya pada 2014, tetapi Golkar, iaitu parti politik kedua terbesar di Indonesia bertindak menyertai gabungan itu pada awal 2016, sekali gus menyokong presiden.

Susulan itu, presiden berjaya memperoleh kerusi majoriti di dewan perwakilan, sekali gus memudahkan usaha untuk meluluskan undang-undang. - Reuters

Berita Harian X