Jumaat, 22 March 2019 | 12:53pm
Status Gunung Bromo masih di tahap dua iaitu berjaga-jaga dan dianggap selamat dikunjungi pelancong. -Foto Agensi

Bromo masih selamat dikunjungi pelancong - BNPB

JAKARTA: Gunung Bromo di Jawa Timur masih dianggap selamat untuk dikunjungi pelawat susulan letusan pagi Isnin lalu, walaupun pelancong dilarang memasuki kawasan pada lingkungan satu kilometer dari kawah.

Jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dalam pengumuman di media sosial berkata, aktiviti gunung berapi itu tidak menjejaskan pelawat oleh kerana letusan mengeluarkan debu gunung berapi dan pasir berbanding batuan dan lahar panas.

“Ia masih dianggap selamat, walaupun letusan luar biasa berlaku setiap hari,” tulisnya di Instagram dipetik The Jakarta Post.

Beliau berkata, status Gunung Bromo masih di tahap dua iaitu berjaga-jaga serta menasihatkan penduduk tempatan dan pengunjung memakai topeng dan kaca mata untuk melindungi diri mereka daripada debu gunung berapi.

“Walaupun letusan berlaku setiap hari, status Gunung bromo masih di tahap 2 (berjaga-jaga),” katanya.

Katanya, Lapangan Terbang Abdul Rachman Saleh di bandar Malang, Jawa Timur masih dibuka selain menggalakkan penduduk merasai ‘pengalaman’ letusan.

“Orang ramai tidak seharusnya takut dengan letusan. Mereka boleh menyaksikan letusan yang tidak berlaku pada setiap kawasan pergunungan,” katanya menambah pasir mewujudkan ‘sungai’ di permukaan kawasan berpasir Bromo hari sebelumnya. -Agensi

Berita Harian X