Rabu, 17 April 2019 | 6:52pm
Calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto bercakap kepada media selepas undian ditutup di Jakarta, Indonesia, hari ini. -Foto Reuters

Prabowo dakwa peroleh 52-54 peratus undi

JAKARTA: Calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, beliau memperoleh antara 52 dan 54 peratus undian dalam pilihan raya republik itu hari ini, sekali gus menang dalam perlumbaan merebut jawatan utama republik itu.

Kenyataan itu berbeza dengan keputusan ‘kiraan pantas’ dijalankan peninjau persendirian terhadap sampel undi, yang menunjukkan penyandang, Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, menang undian popular dan mendahului pencabarnya antara 5.5 dan 11.4 peratus mata.

Prabowo, bekas jeneral tentera, berkata, anggaran kempennya terhadap peratusan undian 52 dan 54 peratus adalah berdasarkan tinjauan selepas undi dalaman dan keputusan ‘kiraan segera’, menggesa penyokongnya untuk tidak membenarkan kejayaannya dirampas begitu sahaja.

“Kami mengakui beberapa insiden yang menjejaskan penyokong terhadap tiket ini (kemenangan beliau). Namun tinjauan selepas undi dan kiraan segera menunjukkan kami menang 52 peratus.

“Sukarelawan kami seharusnya memfokuskan melindungi kotak undi kerana ia adalah kunci utama kejayaan kita,” katanya. -Reuters

Berita Harian X