Selasa, 23 April 2019 | 6:11pm
Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat ketika menghadiri satu persidangan di Singapura pada Januari lalu. Foto Reuters
Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat ketika menghadiri satu persidangan di Singapura pada Januari lalu. Foto Reuters

Heng Swee Keat diumum Timbalan Perdana Menteri Singapura

SINGAPURA: Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat dilantik sebagai timbalan perdana menteri berkuat kuasa 1 Mei ini, sekali gus memperkukuhkan jangkaan bahawa beliau akan mengambil alih pentadbiran negara itu.

Pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan berkata, susulan pelantikan itu, dua lagi penyandang jawatan itu, iaitu Teo Chee Hean and Tharman Shanmugaratnam akan melepaskan kedudukan mereka.

Tahun lalu, parti pemerintah Singapura memilih Swee Keat sebagai calon utama ke jawatan berkenaan, sekali gus mengambil alih jawatan daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Sebelum ini, Hsien Loong dilaporkan berkata, beliau akan melepaskan jawatannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, laman web Todayonline melaporkan, Swee Keat akan terus memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan mempengerusikan Majlis Ekonomi Masa Depan serta Yayasan Penyelidikan Kebangsaan.

Beliau juga akan dilantik sebagai pemangku perdana menteri, ketika ketiadaan Hsien Loong.

Chee Hean dan Shanmugaratnam yang digugurkan dari jawatan berkenaan, akan dikekalkan dalam Kabinet selaku Menteri Kanan.

Chee Hean akan meneruskan tugas sebagai Menteri Penyelaras Keselamatan Kebangsaan, manakala Shanmugaratnam dilantik sebagai Menteri Penyelaras Dasar Sosial.

Shanmugaratnam juga dilantik sebagai timbalan pengerusi dana pelaburan repbulik itu, GIC, selain meneruskan peranan sebagai penasihat kepada Hsien Loong mengenai dasar ekonomi.

Hsien Loong, 67, dalam satu kenyataan di Facebook, menerangkan bahawa perubahan itu sebagai sebahagian daripada pembaharuan kepemimpinan. - Reuters/Agensi

Berita Harian X