Sabtu, 4 Mei 2019 | 3:57pm
Foto disediakan oleh Royal Household Bureau Raja Thai Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun (kiri) bersebelahan dengan Queen Suthida membuat upacara agama di dalam istana kerajaan di Bangkok, Thailand. - Foto EPA
Foto disediakan oleh Royal Household Bureau Raja Thai Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun (kiri) bersebelahan dengan Queen Suthida membuat upacara agama di dalam istana kerajaan di Bangkok, Thailand. - Foto EPA

Raja Vajiralongkorn ditabal sebagai Rama X

BANGKOK: Raja Maha Vajiralongkorn, Rama X Thailand, secara rasminya menaiki takhta dalam acara gilang-gemilang, dipenuhi upacara keagamaan Hindu dan Buddha, berikrar memerintah ‘dengan kebenaran’ mewakili rakyat negara itu.

Istiadat yang bermula sekitar jam 10.09 pagi waktu tempatan, memberi peluang kepada rakyat Thailand menyaksikan upacara pertabalan dari ruang dewan istana yang berlangsung selama tiga hari dengan bermulanya upacara keagamaan hari ini.

Raja Vajiralongkorn adalah pemerintah ke-10 monarki Dinasti Chakri, yang diasaskan sejak 1782.

Mewarisi takhta sejak dua tahun lalu susulan kemangkatan ayahanda baginda, tetapi upacara pertabalan terpaksa ditangguhkan kerana tempoh berkabung yang panjang.

Upacara hari ini bermula di kuil dalam perkarangan kompleks Istana Besar, dengan maharaja berpakaian serba putih, menerima air suci yang diambil dari seluruh Thailand dan dijirus perlahan ke wajah baginda.

Serentak dengan itu, tembakan meriam dilepaskan, diiringi tiupan seruling dan bacaan mantera oleh kumpulan sami.

Yang turut hadir pada upacara itu beberapa sami Hindu Brahmin, sebagai simbol untuk mengangkat Rama X daripada manusia menjadi dewa.

Baginda kemudian duduk di bawah payung negeri dan dipakaikan Mahkota Keagungan diperbuat daripada emas seberat 7.3 kilogram, bertatahkan permata dari India.

Ketika menyampaikan titah pertama baginda berikrar untuk memerintah dengan kebenaran demi kepentingan rakyat Thailand.

Isteri keempat baginda, Suthida yang dikahwini sebelum upacara pertabalan, dilantik sebagai Ratu, bersimpuh di hadapan baginda sebagai tanda hormat dan kemudian turut duduk bersebelahan baginda.

Bagi kebanyakan rakyat Thailand, ia adalah pengalaman pertama bagi mereka menyaksikan pertabalan gilang-gemilang, sejak upacara terakhir diadakan pada 1950 ketika pertabalan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej. - AFP

Berita Harian X