Sabtu, 4 Mei 2019 | 10:52pm
Indonesia mula menenggelamkan puluhan bot asing yang disita, Sabtu lalu, untuk menegah aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairannya. - Foto AFP

Indonesia akan letupkan 51 bot nelayan termasuk dari Malaysia

PONTIANAK: Indonesia mula menenggelamkan puluhan bot asing yang disita, Sabtu lalu, untuk menegah aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairannya, seminggu selepas sebuah kapal tentera laut negara itu bertembung dengan sebuah bot pengawal pantai Vietnam di Laut China Selatan.

Sehingga 51 bot asing termasuk dari Vietnam, Malaysia dan China akan dihantar ke beberapa lokasi dalam tempoh dua minggu akan datang, kata pihak berkuasa.

Menteri Perikanan Indonesia, Susi Pudijiastuti berkata, tindakan itu perlu untuk memberi amaran kepada negara jiran bahawa Indonesia serius mengenai aktiviti penangkapan ikan haram.

“Tiada jalan lain. Ia adalah penyelesaian paling indah untuk negara kami, namun ya ia menakutkan bagi negara lain,” katanya.

Katanya, Indonesia mengalami kerugian ekonomi akibat penguatkuasaan tidak tegas yang membolehkan bot asing menangkap ikan di perairan Indonesia.

Sejak Presiden Joko Widodo berkhidmat pada 2014, ratusan kapal nelayan asing yang disita sudah diletupkan dan lebih separuh daripadanya adalah dari Vietnam.

Amalan itu digantung selama beberapa bulan, namun disambung semula, sejak minggu lalu, selepas sebuah bot pengawal pantai Vietnam melanggar sebuah kapal tentera laut Indonesia yang cuba menyita sebuah kapal pukat haram. - AFP

Berita Harian X